LAHAD DATU: Seekor gajah pygmy Borneo betina ditemukan mati di kawasan ladang kelapa sawit di Blok 57, Felcra Berhad Estate Danum, dekat sini, semalam.
Bangkai haiwan berkenaan ditemukan oleh seorang mandur ladang ketika melakukan rondaan pukul 10.20 pagi, sebelum perkara itu dimaklumkan kepada pihak pengurusan ladang.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Mohd. Soffian Abu Bakar berkata, hasil pemeriksaan awal di lokasi tidak menemukan sebarang tanda jenayah hidupan liar seperti kesan tembakan, kelongsong peluru atau kecederaan luaran.
“Siasatan turut mendapati bangkai haiwan itu berada dalam kawasan Hutan Simpan Lembah Danum. Haiwan itu dipercayai telah mati sejak satu hingga dua hari lalu, namun punca kematian masih belum dapat dipastikan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, operasi lanjut bersama pasukan bedah siasat bangkai akan dijalankan esok bagi mengambil sampel dan melakukan analisis makmal.
“Gajah pygmy Borneo (Elephas maximus borneensis) itu dianggarkan seberat antara 600 hingga 1,200 kilogram (kg) dengan ketinggian sekitar 160 hingga 180 sentimeter (cm),” katanya.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai Refer to Other Agency (ROA) dan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Lahad Datu untuk tindakan lanjut. – UTUSAN







