Festival Kota Selatan angkat nilai budaya, pupuk perpaduan

Festival Kota Selatan angkat nilai budaya, pupuk perpaduan negara

KUMPULAN penari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Johor membuat persembahan pada Majlis Perasmian dan Malam Gala Festival Kota Selatan (FKS) 2025 di Dataran Majlis Perbandaran Pontian, Johor, kelmarin.– UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Penganjuran Festival Kota Selatan (FKS) 2025 di sini dilihat sebagai satu platform inklusif dalam mengangkat naratif kepelbagaian nilai warisan budaya masyarakat berbilang kaum khususnya di negeri Johor.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd. Amran Mohd. Haris  berkata, FKS adalah salah satu Program Pelancongan Budaya 2025 yang merupakan inisiatif strategik Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) untuk memperkasakan sektor pelancongan berasaskan warisan dan kebudayaan tempatan.

“Program ini menjadi platform penting mengetengahkan keunikan dan kekayaan seni dan budaya Johor yang terdiri daripada pelbagai kaum serta etnik seperti Melayu, Cina, India, Orang Asli, Jawa, Bugis dan Banjar.

“Motac sentiasa berperanan untuk terus menyemarakkan seni budaya seni budaya dalam kalangan masyarakat seterusnya memperkuatkan lagi perpaduan antara kaum.

“Melalui program dan aktiviti seni, budaya dan warisan, masyarakat dapat memahami, menghayati dan menghargai seni budaya warisan pelbagai kaum di Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Malam Gala FKS 2025 di Dataran Majlis Perbandaran Pontian di sini, kelmarin.

Hadir merasmikan majlis ialah Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.

FKS 2025 merupakan kali kelima dianjurkan JKKN dan kali kedua diadakan di daerah Pontian bertemakan Revolusi Ghazal Johor.

Antara pengisian FKS ialah pertandingan ghazal Johor, suara irama ghazal, zapin cilik Johor, kompang tradisi Johor, pertunjukan seni budaya pelbagai kaum, pameran agensi kerajaan serta festival makanan.

Mohd. Amran berkata, Motac menyediakan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) bagi menggalakkan pembangunan, pemeliharaan dan pengembangan seni budaya melalui penganjuran festival dan aktiviti kebudayaan.

“Motac telah meluluskan sebanyak RM2.4 juta kepada penggiat seni budaya di negeri Johor sejak geran ini dilancarkan pada tahun 2022,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN