Faktor iklim jejas tahap sara diri beras di Perak - Utusan Malaysia

Faktor iklim jejas tahap sara diri beras di Perak

SAARANI Mohamad menyampaikan cek peruntukkan pertanian kepada petani pada majlis penutupan Perak Agro Fest 2025 di Ladang Infoternak Sungai Siput. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Projek pemindahan air Sungai Perak ke Tasik Bukit Merah di Bagan Serai mampu membantu negeri ini memperbaiki tahap sara diri (SSL) beras yang mengalami penyusutan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tahap SSL beras negeri ini kini berada pada paras 93 peratus berbanding 103 peratus yang pernah direkodkan.

Jelasnya, antara punca kemerosotan itu ialah kerana berlakunya tanah jerlus serta fenomena perubahan iklim yang menjejaskan bekalan air untuk aktiviti penanaman padi.

“Itu sebab kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menjayakan projek pemindahan air dari Sungai Perak ke kolam Bukit Merah.

“Itu cara yang terbaik untuk memastikan bekalan air daripada pengairan ini mencukupi. Kalau itu berlaku saya percaya (masalah diatasi) memandangkan daerah Kerian adalah kawasan jelapang padi kedua yang terbesar.

“Jelapang padi ini kita akan terus tumpukan. Saya yakin kita akan dapat kembali SSL 100 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penutup Perak Agrofest 2025 di Ladang Infoternak Sungai Siput di sini hari ini.

Musim kemarau sering melanda utara negeri Perak termasuk Kerian dan menyebabkan paras Tasik Bukit Merah yang menjadi punca pengairan menyusut teruk sehingga menganggu aktiviti pertanian di kawasan tersebut.

Pada Ogos 2024, Kerajaan Persekutuan secara dasarnya bersetuju meluluskan anggaran peruntukan RM4 bilion bagi pelaksanaan projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah di Kerian.

Saarani juga berkata, sektor pertanian tidak akan dipinggirkan tatkala negeri ini sedang membangunkan pelbagai projek gergasi yang memfokuskan kepada perindustrian.

“Kita ada tanah pertanian yang subur dan menggunakan tanah pertanian untuk membolehkan kita cukup sara diri dan menjadi pembekal makanan kepada negara. Kita bangun sebagai negeri perindustrian sebab kita hendak menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.

Mengenai Perak Agrofest 2025 yang berlangsung dari 26 hingga 28 September 2025, dianggarkan bilangan kehadiran pengunjung mampu mencecah 400,000 orang dengan jumlah jualan sebanyak RM4 juta. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN