KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Kerajaan Malaysia untuk membatalkan saman difailkan Asian Kitchen (M) Sdn. Bhd. berhubung penamatan perjanjian pengendalian restoran berputar, Atmosphere 360 di Menara Kuala Lumpur.
Selain Fahmi dan kerajaan, tiga lagi syarikat, Hydroshoppe Sdn. Bhd., Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) serta MKL Cuisine Sdn. Bhd. turut berjaya membatalkan saman sama.
Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan dalam penghakimannya berkata, Asian Kitchen selaku plaintif tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memulakan tindakan untuk mencabar perjanjian konsesi Menara Kuala Lumpur.
Menurut beliau, plaintif merupakan pihak ketiga kepada perjanjian konsesi pengendalian itu di antara kerajaan Malaysia dan MKLSB menyebabkan tiada sebarang kontrak, hak statutori atau kepentingan undang-undang yang boleh mengaitkan plaintif dengan defendan keempat (Fahmi) dan kelima (Kerajaan).
“Plaintif memang tiada kedudukan dalam undang-undang. Tanpa hubungan secara langsung, tiada kewajipan undang-undang wujud untuk defendan keempat dan kelima melindungi kepentingan plaintif.
“Tambahan pula, tuduhan tersebut memerlukan bukti niat jahat. Tidak mungkin wujud niat jahat terhadap plaintif kerana tiada hubungan undang-undang antara mereka,” katanya yang memerintahkan plaintif membayar kos berjumlah RM10,000 kepada defendan keempat dan kelima.
Bagi permohonan Hydroshoppe dan MKLSB selaku defendan pertama dan kedua, hakim itu mendapati terdapat tindakan saman hampir serupa yang difailkan plaintif di Bahagian Komersial Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Jika kedua-dua tindakan ini berjalan serentak, ia berisiko menimbulkan penghakiman yang bercanggah dan boleh menyusahkan pihak-pihak.
“Selain itu, plaintif juga menuntut gantirugi terhadap defendan pertama dan kedua. Oleh itu, mereka tidak boleh dianggap hanya sebagai defendan nominal,” katanya.
Mahkamah kemudian memerintahkan Asian Kitchen membayar kos berjumlah RM10,000 kepada defendan pertama, kedua dan ketiga.
Pada April lalu, Asian Kitchen memfailkan saman kepada kelima-lima defendan berkaitan penamatan perjanjian konsesi yang menyaksikan syarikat itu tidak lagi mengendalikan Restoran Atmosphere 360 di Menara Kuala Lumpur, tiga tahun lalu.
Plaintif menamakan lima defendan termasuk Menteri Komunikasi dan kerajaan Malaysia serta menuntut pelbagai gantirugi termasuk teladan, am, tulen dan tambahan, selain satu pengisytiharan bahawa Fahmi telah gagal dalam melaksanakan tugas awam.
Pada Mac lalu, Hydroshoppe dan MKLSB turut memfailkan saman RM1 bilion terhadap Fahmi, kerajaan Malaysia serta tiga syarikat lain berhubung isu sama penamatan konsesi Menara KL.
Dalam kes itu, mahkamah menolak permohonan Fahmi dan kerajaan untuk membatalkan saman tersebut kerana mendapati terdapat isu yang wajar dibicarakan, manakala saman terhadap tiga syarikat terbabit dibatalkan dengan kos RM20,000.
Pada prosiding hari ini, plaintif diwakili peguam Arun Ganesh Boopalan dan Andrew Navin manakala defendan pertama hingga ketiga diwakili Davso Wong Zhi Khang.
Fahmi dan kerajaan pula diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Siti Syakimah Ibrahim dan Peguam Persekutuan, Abdul Hakim Ab. Karim. – UTUSAN










