KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di pekarangan Pejabat Agung Pas bagi menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN), malam ini.
Muhyiddin ditemani Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ketua Armada Bersatu, Muhammad Hilman Idham.
Mesyuarat berkenaan dijadual berlangsung pada pukul 8.30 malam bagi membincangkan isu berkaitan keanggotaan PN.
Perkara itu berdasarkan notis yang dikeluarkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bertarikh 18 Jun lalu.
Menerusi notis tersebut, Takiyuddin memaklumkan beliau diarahkan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar supaya mengeluarkan notis memanggil mesyuarat tergempar mengikut Fasal 10 dan Fasal 12 Perlembagaan PN.
Menurut notis itu, agenda utama mesyuarat tersebut adalah berkaitan “Keanggotaan Perikatan Nasional”. – UTUSAN










