SEREMBAN: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima kehadiran istimewa apabila Duta Besar Republik Yaman ke Malaysia, Dr. Adel Mohamed Ali Ba Hamid, mendaftar sebagai pelajar Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP).
Beliau antara 495 pelajar siswazah yang melakukan pendaftaran rasmi di Dewan Tuanku Canselor (DTC), USIM, sempena kemasukan semester 1 Sesi Akademik 2025/2026.
Dr. Adel sebelum ini merupakan doktor perubatan lulusan Universiti Aden, Yaman (1999), dan seterusnya menamatkan pengajian peringkat Sarjana dalam Perubatan Komuniti dan Kesihatan Awam pada 2007 sebelum beralih kerjaya sebagai diplomat.
Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani berkata, kemasukan seorang duta besar sebagai pelajar PhD adalah satu penghormatan besar yang mencerminkan keyakinan antarabangsa terhadap USIM.
“Kehadiran Dr. Adel bukan sahaja akan memberi nilai tambah kepada dunia akademik, malah dapat memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Yaman,” katanya ketika dihubungi.
Dr. Adel dalam pada itu berkata, beliau memilih USIM kerana universiti ini menekankan integrasi ilmu Naqli dan Aqli yang diyakininya mampu menyokong penyelidikan bermanfaat untuk masyarakat Yaman, Malaysia dan dunia Islam.
Kemasukan beliau juga dilihat sebagai inspirasi kepada pelajar antarabangsa lain serta membuktikan USIM menyediakan suasana akademik berkualiti dan persekitaran kondusif untuk pembangunan ilmu, diplomasi dan budaya. – UTUSAN










