Dua rakan didakwa edar syabu lebih 103kg

Dua rakan didakwa edar syabu lebih 103kg

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis syabu (methamphetamine) seberat lebih 103 kilogram (kg), dua minggu lalu.

Tertuduh, Fathi Fikri A’shaari dan Ahmad Syakir Khalid masing-masing berusia 36 tahun hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amira Abd. Aziz.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa mengedar syabu dengan anggaran berat 103,326 gram di sebuah rumah di Jalan Tasik Damai, Taman Tasik Impian kira-kira pukul 11.50 pagi, 10 September 2025.

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 15 sebatan, jika tidak dijatuhkan hukuman mati.

Fathi Fikri diwakili peguam Mohd. Redzuan Mohamed Yusoff manakala Ahmad Syakir diwakili Shah Rizal Manan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farhanah Arul Hisham.

Mohd. Redzuan berkata, kedua-duanya merupakan rakan dan masing-masing menjalankan perniagaan sendiri.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 22 Disember ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN