SHAH ALAM: Polis merampas 71.6 kilogram (kg)dadah pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM13.6 juta di dalam sebuah kereta Mercedes dalam satu serbuan di sekitar Banting, Kuala Langat, kelmarin.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, serbuan tersebut dilakukan sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.
“Serbuan tersebut dijalankan kira-kira 3.45 petang dekat sebuah persimpangan lampu isyarat di sekitar Banting yang dipercayai dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.
“Dua suspek yang berumur 42 dan 47 tahun itu ditahan di dalam sebuah kereta Mercedes A200,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Jelasnya, ketika pemeriksaan di bahagian tempat duduk belakang menemukan 30 bungkusan disyaki berisi dadah ekstasi dianggarkan 61,8kg dan tiga bungkusan disyaki berisi dadah Erimin 5 dianggarkan berat 9.9kg.
Shazeli berkata, suspek pertama yang berumur 47 tahun adalah pekerja sebuah syarikat kontraktor binaan yang mempunyai 18 rekod lampau jenayah dan dadah. Saringan awal air kencing negatif.
“Manakala suspek kedua pula berumur 42 tahun adalah seorang penganggur dan mempunyai 22 rekod lampau jenayah dan dadah. Ujian air kencing positif amfetamin dan metamfetamin.
“Kita turut menyita seutas rantai leher bernilai RM15,000 dan seutas jam tangan jenama Roscani bernilai RM500,” jelasnya.
Tambahnya, siasatan awal juga mendapati sindiket terbabit beroperasi sejak Januari tahun ini dan dipercayai mengedar dadah di sekitar Lembah Klang.
Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 17 September ini dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN










