Polis gagalkan cubaan jadikan Pelabuhan Klang transit dadah antarabangsa

Polis gagalkan cubaan jadikan Pelabuhan Klang transit dadah antarabangsa

Dadah Pelabuhan Klang
HUSSEIN Omar Khan menunjukkan rampasan dadah yang sedang ditempatkan Pelabuhan Klang sebagai transit sebelum dibawa ke Australia, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Polis menggagalkan cubaan menempatkan lebih 14 tan metrik dadah bernilai RM80.3 juta dekat Pelabuhan Klang, di sini sebagai transit dari Timur Tengah apabila kesemua bahan terlarang itu dikesan, pada Isnin lalu.

Malah, dadah jenis cecair ekstasi dan heroin itu disorokkan dalam botol minyak zaitun serta minuman dalam dua kontena yang didaftarkan sebagai produk-produk itu untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa sebelum berlepas ke Australia.

Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penemuan tersebut adalah hasil pemeriksaan terhadap kontena berkenaan oleh pasukannya di Pulau Indah.

Menurutnya, kontena tersebut dikesan hasil kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Polis Persekutuan Australia (AFP).

“Pemeriksaan yang dilakukan ke atas kontena pertama menjumpai 408 kotak mengandungi sejumlah 6,528 botol berisi cecair disyaki dadah jenis MDMA (ecstasy) dianggarkan seberat 4,064kg.

” Pemeriksaan lanjut ke atas kontena kedua telah menjumpai 1,831 karton air minuman yang mengandungi sejumlah 54,939 kotak air minuman berisi cecair disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 9,886.4kg,” katanya, dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, di sini, hari ini.

Jelasnya, kontena itu memasuki Pelabuhan Klang dari Timur Tengah pada 17 Jan dan dijadualkan dalam perjalanan ke Sydney dan Melbourne, Australia pada minggu hadapan.

Hussein berkata, polis juga menyiasat sama ada kandungan cecair dadah berkenaan akan diekstrak semula atau produk itu boleh digunakan terus oleh penggunanya.

“Jumlah dadah yang dirampas mampu merosakkan sekitar 63 juta orang,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan 12 sebatan.

Tambah Hussein, kerjasama dengan AFP itu juga berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk dadah ke Australia dengan melibatkan Pelabuhan Klang bagi pengedaran dadah dalam pasaran antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN