GEORGE TOWN : Dua individu dilaporkan sesat ketika melakukan aktiviti mendaki di kawasan hutan berhampiran Freedom Hill, Happy Rock, Batu Ferringhi di sini, petang ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 2.38 petang.
Menurut beliau, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal bersama sebuah jentera kemudian dikerah ke lokasi yang terletak sejauh sembilan kilometer (km) dari balai untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Operasi ini dimulakan pada pukul 3.02 petang selepas pasukan tiba di lokasi dan komander operasi membuat penilaian awal sebelum anggota memulakan pencarian berpandukan perkongsian lokasi daripada mangsa menerusi aplikasi WhatsApp.
“Setakat ini, operasi masih dijalankan bagi menjejaki kedua-dua mangsa yang dipercayai sesat di dalam hutan berkenaan,” katanya di sini, hari ini.
Tambah beliau, buat masa ini juga, operasi tersebut tidak melibatkan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) atau agensi luar.-UTUSAN