BUTTERWORTH : Seorang pemandu e-hailing didenda RM23,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan iaitu menipu seorang individu berhubung pembayaran deposit bagi pembelian sebuah rumah pada 2022.
A. Thirumurthi, 44, yang juga bapa kepada tiga orang anak itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Berdasarkan kelima-lima pertuduhan, dia didakwa menipu G. Muralidaran, 32, dengan memperdaya lelaki berkenaan untuk mempercayai bahawa dia adalah ejen perumahan bagi penjualan rumah menerusi Projek Perumahan Skim My Home Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bernilai RM198,000.
Perbuatan itu seterusnya mendorong mangsa untuk menyerahkan wang sebanyak RM7,393.60 yang dimasukkan ke dalam akaun tertuduh secara berperingkat dalam kejadian yang berlaku di Maybank Bertam, Kepala Batas antara tempoh 24 September hingga 31 Oktober 2022.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh bertindak sebagai ejen perumahan tidak sah sejak 2022 dan menawarkan perkhidmatan pendaftaran untuk mendapatkan unit rumah di bawah skim terbabit selain mengenakan bayaran perkhidmatan antara RM100 hingga RM1,500 di sekitar Pulau Pinang dan Kedah.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee dan Muhammad Syahmi Mohd Sanusi manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.
Ketika prosiding, tertuduh memaklumkan bahawa dia memperolehi pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan dan perlu menanggung tiga anak, isteri dan ibunya selain menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung.
Noor Azura kemudian meminta mahkamah untuk mempertimbangkan hukuman berbentuk pengajaran memandangkan perbuatan tertuduh boleh dianggap sebagai salah satu kesalahan serius yang sering kali berlaku di negara ini.
Pada masa sama katanya, mahkamah juga perlu mengambil kira faktor kepentingan awam agar jenayah seumpama itu tidak akan berulang pada masa hadapan.
Zulhazmi kemudian menetapkan denda sebanyak RM23,000 dan mengarahkan agar tertuduh dipenjara antara tempoh dua hingga enam bulan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Difahamkan, tertuduh bagaimanapun membayar denda terbabit.-UTUSAN










