PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memandang serius sebarang isu berkaitan integriti, ketelusan dan tadbir urus susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap seorang pegawai kanannya.
DBKL dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan media yang dibuat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berhubung siasatan berkenaan.
“Bagi memastikan kelancaran pentadbiran, penempatan dan tugasan pegawai terbabit telah diselaraskan sementara proses siasatan dijalankan.
“DBKL memandang serius sebarang isu berkaitan integriti, ketelusan dan tadbir urus,” katanya.
Menurutnya, pihak DBKL akan sentiasa memastikan setiap urusan pentadbiran dilaksanakan secara telus, berakauntabiliti dan berintegriti.
“DBKL akan terus memperkukuhkan amalan tadbir urus yang baik sejajar dengan dasar kerajaan bagi mengekang sebarang bentuk salah guna kuasa.
“Komitmen ini selaras dengan nilai perkhidmatan awam yang berteraskan amanah rakyat,” katanya. – UTUSAN










