David Balisong kurus selepas tiga bulan hilangkan diri

David Balisong kurus selepas tiga bulan hilangkan diri

MINERVA Balisong memeluk David Balisong selepas remaja berusia 17 tahun ditemukan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, kelmarin.-GAMBAR FACEBOOK CHEE HUAN KUAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Misteri kehilangan seorang remaja lelaki warga Britain yang menimbulkan tanda tanya sejak tiga bulan lalu akhirnya terjawab apabila dia ditemukan selamat di sebuah hotel bajet di Jalan Pudu, di sini, kelmarin.

David Balisong, 17, ditemui kira-kira pukul 7 malam oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hasil maklumat disalurkan aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang.

Ketika ditemui, David berada dalam keadaan baik namun kelihatan terlalu kurus selepas hanya bergantung kepada makanan segera sepanjang tempoh kehilangannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Uncle Kentang ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, David difahamkan telah menyewa bilik hotel terbabit sejak 14 Julai lalu dan tinggal bersama empat pengembara asing dari beberapa negara.

“Saya mula dapat maklumat daripada seorang individu yang ternampak seorang lelaki menyerupai David di hotel tersebut. Saya segera hubungi pihak polis dan tidak lama kemudian dia berjaya ditemui di salah sebuah bilik hotel berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Ibu kepada David, Minerva Balisong, 50, memaklumkan anaknya ditemukan dalam keadaan baik namun berat badannya merosot dan kelihatan sangat kurus.

Katanya, dia dan anak lelakinya akan pulang ke negara mereka secepat mungkin dan telah berhubung dengan wakil kedutaan mereka di Kuala Lumpur bagi urusan tersebut.

“Sejak anak lelaki saya ditemukan semalam, saya belum lagi berehat. Beri kami ruang dan masa selesaikan semua perkara. Kami juga akan pulang ke negara asal kami semula secepat mungkin,” jelasnya.

Dalam pada itu, hasil siasatan polis mendapati remaja lelaki warga Britain meninggalkan rumah sebelum datang ke Malaysia pada awal Jun lalu kerana berselisih faham dengan keluarganya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, hasil percakapan awal, dia mengakui meninggalkan rumah selepas berlaku perselisihan faham msebelum berangkat ke Malaysia pada 6 Jun lalu.

Berita kehilangan remaja Britain itu mencetus tanda tanya pelbagai pihak selepas dia dilaporkan hilang setibanya di negara ini menaiki pesawat Etihad Airways dari UK ke Kuala Lumpur.

Difahamkan, tiga hari selepas dilaporkan hilang, keluarganya menerima satu e-mel dipercayai daripada David yang meminta mereka tidak mencarinya.

Namun semua panggilan dan pesanan suara keluarga tidak pernah dijawab, malah telefon bimbitnya dimatikan sejak hari pertama dia hilang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini