PETALING JAYA: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM510 bilion menerusi Belanjawan 2027 bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara, memperkukuh daya saing serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat.
Peruntukan itu meningkat berbanding Belanjawan 2026 yang disemak semula, dengan tumpuan kepada kesejahteraan sosial, pembangunan infrastruktur dan pengukuhan daya tahan ekonomi dalam menghadapi ketidaktentuan global.
Daripada jumlah itu, kerajaan mencadangkan sebanyak RM376.8 bilion atau 81.9 peratus diperuntukkan kepada perbelanjaan mengurus (OE) manakala baki RM83 bilion diperuntukkan kepada perbelanjaan pembangunan (DE).
Belanjawan yang mengangkat tema ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ itu adalah yang kedua di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030 dan juga yang kelima di bawah Kerajaan Perpaduan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, belanjawan negara bukan sekadar penyata kewangan tetapi penyataan moral dan Waad Nasional kerajaan kepada rakyat.
“Ia adalah janji bahawa negara tidak akan meminggirkan mereka yang dihimpit kesusahan dan setiap anak Malaysia, apa pun latar keluarga, wilayah atau kedudukannya, berhak melihat dan mencapai potensinya,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, semalam.
Kerajaan memperuntukkan lebih RM80 bilion untuk subsidi, bantuan dan insentif tahun depan termasuk subsidi bahan api yang dijangka kekal tinggi pada RM40 bilion dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hampir RM3.3 bilion.
Peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) juga ditingkatkan kepada RM16 bilion berbanding RM15 bilion dalam belanjawan lalu.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, dengan kos sara hidup yang semakin tinggi, kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan berkuat kuasa Jun 2027, melibatkan lebih empat juta pekerja di seluruh negara.
Ujarnya, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan bagi memberi ruang kepada golongan itu menyesuaikan model perniagaan masing-masing.
“Kerajaan turut melaksanakan pembaharuan kerangka pendapatan pekerja dengan memperkenalkan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan sebagai permulaan.
“Langkah itu diambil kerana kadar gaji minimum sedia ada hanya menetapkan lantai pendapatan pekerja, sedangkan upah pekerja mahir masih tidak setimpal dengan tahap kelayakan mereka,” katanya.
Dalam usaha memperkukuh kemudahan asas rakyat, kerajaan memperuntukkan hampir RM69 bilion kepada Kementerian Pendidikan (KPM) termasuk peruntukan pembaikan sekolah serta hampir RM1.3 bilion untuk menaik taraf 682 sekolah daif, khususnya di Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, sektor kesihatan menerima peruntukan RM47.7 bilion bagi memperkukuh perkhidmatan rawatan, kemudahan kesihatan dan akses rakyat kepada penjagaan perubatan, selain pelbagai bantuan bersasar diteruskan untuk golongan rentan serta kumpulan berpendapatan rendah.
Kerajaan Madani juga mengambil perhatian terhadap keluhan golongan pertengahan (M40) dengan had pelepasan cukai individu yang tidak disemak sejak 2010, dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000.
Dalam pada itu, beliau menjangkakan defisit fiskal turun kepada 3.3 peratus pada 2027.
“Krisis Asia Barat meningkatkan subsidi bahan api hingga RM40 bilion. Defisit fiskal 2026 kini diunjur pada 3.6 peratus, berbanding sasaran asal 3.5 peratus.
“Namun, kadar ini kekal dalam jalur menurun daripada 5.5 peratus (2022) dan 3.7 peratus tahun lalu. Insya-Allah, defisit 2027 akan turun lagi kepada 3.3 peratus, menuju sasaran 3.0 peratus menjelang 2028,” ujarnya.
Anwar berkata, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan melabur RM2 bilion bagi memperkasa syarikat bumiputera, termasuk membantu mereka menuju penyenaraian awam dan memperkukuh pemilikan hartanah strategik.
Katanya, Khazanah Nasional Berhad dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) turut mewujudkan Dana Ciptawan bernilai RM250 juta bagi menyokong pertumbuhan syarikat pertengahan bumiputera.
Selain itu, katanya, pelaburan RM1.5 bilion diperuntukkan bagi pembangunan taman solar berpusat untuk bangunan kerajaan manakala 150 megawatt melalui projek solar LSS6 dikhususkan kepada syarikat bumiputera.
“Bagi pembangunan syarikat mula niaga, Jelawang Capital Khazanah dan Dana Perintis KWAP akan melabur RM450 juta.
“Dana NIMP, Dana Pemacu KWAP dan Dana MTC Khazanah yang berjumlah RM2.1 bilion pula akan dimanfaatkan untuk memperkukuh keupayaan syarikat pertengahan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), digital, aeroangkasa serta peranti perubatan,” ujarnya.
Kerajaan turut menyediakan RM270 juta bagi menyokong PKS, syarikat pertengahan dan perusahaan sosial melalui platform pendanaan awam ekuiti (ECF) serta pembiayaan rakan setara (P2P).
Selain itu, pengecualian cukai pendapatan bagi pelabur individu melalui platform ECF dan pelabur mangkin yang membiayai syarikat pemula teknologi peringkat awal dilanjutkan sehingga 31 Disember 2030.
Waad Nasional adalah janji bahawa negara tidak akan kehilangan kasih terhadap rakyatnya, kuasa akan terus dipagari amanah dan hasil negara akan kembali kepada kemaslahatan ramai.
Perdana Menteri menegaskan, setiap generasi mempunyai tanggungjawab untuk menyerahkan sebuah Malaysia yang lebih baik. – UTUSAN











