LONDON: Arsenal berpeluang mengeksploitasi masalah kecederaan Leeds United apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Emirates malam ini, ketika pasukan pelawat berdepan kemungkinan kehilangan lebih daripada seorang pemain.
Leeds kehilangan khidmat pemain sayap, Daniel James yang mengalami kecederaan belakang ketika menyertai tugasan antarabangsa, manakala kecergasan Harry Wilson masih belum dapat dipastikan menjelang perlawanan itu.
Pengendali Leeds, Daniel Farke mengesahkan James tidak akan diturunkan, sekali gus mengehadkan pilihan pasukannya ketika berdepan cabaran Arsenal di laman lawan.
“Daniel James juga akan terlepas perlawanan menentang Arsenal kerana mengalami kecederaan belakang. Dia pulang daripada tugasan bersama pasukan kebangsaan dengan kecederaan itu dan tidak dapat beraksi,” kata Farke.
Mengenai Wilson, Farke berkata pihaknya perlu menilai keadaan pemain itu selepas kembali menjalani latihan sebelum membuat keputusan sama ada dia mampu diturunkan.
“Kami perlu menunggu dan melihat bagaimana keadaannya selepas kembali menjalani latihan,” katanya.
Situasi itu membuka ruang buat Arsenal memburu kebangkitan selepas tewas 0-3 kepada Brighton dalam aksi terakhir sebelum rehat antarabangsa, sekali gus menamatkan permulaan sempurna mereka dalam saingan liga musim ini.
Kekalahan itu turut menjadi yang terbesar buat Arsenal dalam EPL sejak mereka tewas dengan keputusan sama kepada Brighton pada Mei 2023, menjadikan pertemuan dengan Leeds medan penting untuk memulihkan keyakinan pasukan.
Bagaimanapun, Arsenal juga tidak turun dengan skuad lengkap apabila Ben White mengalami kecederaan pangkal paha, Cristhian Mosquera dibelenggu kecederaan paha, manakala Kai Havertz masih diragui akibat masalah otot.
Pengendali Arsenal, Mikel Arteta yang melanjutkan kontraknya sehingga 2030 minggu ini, berharap pasukannya mampu bangkit dan meneruskan perkembangan positif kelab itu dalam tempoh mendatang.
“Ini hanyalah permulaan kepada apa yang mampu kita capai bersama,” kata Arteta. – AGENSI











