Ibu tunggal dan tunang maut ditikam dipercayai akibat cemburu

Ibu tunggal dan tunang maut ditikam dipercayai akibat cemburu

POLIS menyiasat lokasi pembunuhan dua individu di Taman Nona, Guar Chempedak di Yan, Kedah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Cemburu dipercayai menjadi faktor seorang wanita berstatus ibu tunggal dan bakal tunangnya maut ditikam dalam kejadian di Taman Nona, Guar Chempedak di Yan malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 malam itu, mangsa, Nurul Nur Syamira Khamis, 28, yang merupakan ibu kepada dua anak ditemukan tidak bernyawa dengan beberapa kesan tikaman pada badan di tempat duduk penumpang hadapan kereta Proton Wira.

Bakal tunangnya, Ku Asyraf Ku Shuib, 30, ditemui meninggal dunia dalam keadaan tertiarap di atas jalan berhadapan sebuah rumah di situ, juga dengan beberapa kesan tikaman pada badan.

Kedua-dua mereka dipercayai diserang oleh seorang lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan wanita terbabit.

Menurut bapa Nurul Nur Syamira, Khamis Abdul Rahim, 55, dia mengetahui kejadian daripada jiran selepas polis datang ke rumahnya di Sungai Petani, kira-kira pukul 2 pagi semalam. 

“Waktu itu saya tiada di rumah kerana berada di Perak, saya memang terkejut bila diberitahu anak sudah meninggal dunia.

“Saya boleh terima kalau dia meninggal secara biasa tetapi tindakan suspek menikam anak saya dan bakal tunangnya sehingga mati memang kejam,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini hari ini.

Katanya, dia merestui hubungan kedua-dua arwah, namun meminta mereka menangguhkan perkahwinan sehingga pembinaan rumah di Selama, Perak selesai.

“Kalau ikutkan mereka memang nak kahwin secepat mungkin, namun tidak kesampaian. Semoga siapa pun pelakunya yang kejam sehingga sanggup membunuh anak saya ditangkap dan dikenakan hukuman setimpal,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN