Buruh ladang dituduh bunuh rakan sekerja

Buruh ladang dituduh bunuh rakan sekerja

MG. Zaw semasa dibawa  polis untuk menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Majistret Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang buruh ladang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh rakan sekerjanya di kawasan rumah kongsi kebun getah di sebuah ladang dekat sini, kira-kira tiga minggu lalu.

Tertuduh Mg. Zaw, 44, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri. Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap seorang warga Myanmar, Khin Mg Swee. Perbuatan itu dilakukan di kawasan rumah kongsi kebun getah, Ladang Sonchong kira-kira pukul 4.30 petang hingga 7.10 malam pada 7 September lalu.

Mg. Zaw didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dikenakan tidak kurang 12 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahril Ramli manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah menetapkan 14 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, polis Kelantan mendedahkan lelaki warganegara Myanmar yang ditemukan mati dengan kesan tetakan pada leher dan dada di kawasan kebun di belakang sebuah ladang kelapa sawit di Gua Musang, dibunuh akibat cemburu.

Perasaan itu dipercayai timbul selepas mangsa memeluk wanita berkenaan yang merupakan isteri kepada rakannya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×