Bung Moktar terperanjat tahu Zizie terima RM2.8 juta

Bung Moktar terperanjat tahu Zizie terima RM2.8 juta

BUNG Moktar Radin (dua kiri) dan Zizie Izette (dua kanan) ketika hadir prosiding bela diri bagi tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur  hari ini.-UTUSAN/SYAKIR RADIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa beliau terperanjat selepas dimaklumkan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A. Samad menerima wang berjumlah RM2.8 juta ketika siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bung Moktar, 66, dalam pemeriksaan balas pihak pendakwaan menegaskan beliau benar-benar tidak mengetahui mengenai perkara itu serta menolak dakwaan bahawa beliau hanya ‘kononnya’ tidak tahu.

Pendakwaan: Setuju dengan saya, Datuk Seri kononnya baru tahu, Datin Seri Zizie (Zizie Izette) terima RM2.8 juta daripada Norhaili (ejen pelaburan) ketika disiasat SPRM? Setuju dengan saya ketika itu sudah pasti Datuk Seri marah dan sedih?

Bung Moktar: Memang tiada istilah ‘konon’, saya betul-betul tidak tahu. Saya terkejut, terperanjat dengan peristiwa yang berlaku. 

Semasa prosiding, beliau turut mengakui tidak membuat sebarang laporan berhubung wang berkenaan kerana kes tersebut telah pun disiasat oleh SPRM pada waktu itu.

Sebelum ini, mahkamah diberitahu Zizie Izette layak menerima wang pengenalan RM2.8 juta kerana memperkenalkan suaminya untuk Felcra Berhad membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar berkata, bayaran itu sebahagian daripada strategi pemasaran apabila Zizie turut memperkenalkan seorang pegawai kanan Felcra untuk melabur dalam skim sama.

Semalam, ketika pemeriksaan utama, Bung Moktar menegaskan beliau tidak pernah tahu isterinya akan menerima wang tersebut yang dibayar pada 12 dan 17 Jun 2015 melalui dua ejen pelaburan berkenaan.

Jelasnya, beliau hanya menyedari perkara itu selepas dipanggil SPRM untuk membantu siasatan sekitar 2016 atau 2017.

Bung Moktar menambah, beliau tidak akan sesekali membenarkan ahli keluarga, saudara mara mahupun rakan-rakan terlibat dengan rasuah serta tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka.

“Prinsip dan maruah saya tidak boleh digadaikan, saya juga tidak akan mencampuradukkan urusan peribadi dengan kerja rasmi,” katanya.

Perbicaraan bela diri di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung esok.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa pada 3 Mei 2019 atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan meluluskan pelaburan Felcra sebanyak RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa menerima wang tersebut daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid menerusi isterinya, Zizie Izette, 46, di Public Bank Berhad Cawangan Taman Melawati pada 12.30 tengah hari hingga 5 petang, 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan ketiga, Bung Moktar turut dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan tunai RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan sama pada 17 Jun 2015. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×