MELAKA: Penduduk sekitar Paya Luboh, Tangga Batu di sini gempar apabila kelibat seekor buaya dipercayai sepanjang 1.5 meter (m) muncul di sungai berhampiran sawah padi, tengah hari tadi.
Kemunculan reptilia itu mula disedari kira-kira pukul 12 tengah hari oleh sekumpulan pemancing yang sedang memancing di tebing sungai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi berkata, sungai kecil itu sering menjadi lokasi kanak-kanak mandi serta aktiviti memancing.
“Buaya berukuran kira-kira 1.5m itu dilihat berada di tebing sungai kecil di Paya Luboh, ia berkemungkinan naik ke kawasan berkenaan akibat banjir kilat dan fenomena air pasang baru-baru ini.
“Saya segera menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, anggota penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu turut melakukan pemantauan sebelum kes diserahkan kepada Perhilitan.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Melaka, Petra Sulai mengesahkan telah menghantar kakitangan untuk mengesan reptilia berkenaan. – UTUSAN










