BUKIT GANTANG: Sebanyak 135 bot menyertai pertandingan bot berhias bertemakan pakaian tradisional sempena sambutan Hari Malaysia di perairan Sungai Kerang di sini hari ini.
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, pihaknya mengambil inisiatif mengadakan pertandingan ini kerana tidak mahu nelayan berasa terpinggir daripada sebarang aktiviti nasional.
Menurutnya, acara tersebut juga membuktikan sambutan Hari Malaysia bukan sahaja boleh diadakan di daratan tetapi di lautan yang boleh juga diadakan sambutan sempena Hari Malaysia.
“Kita sentiasa menyokong penganjuran yang mengangkat identiti dan budaya nelayan, kerana mereka bukan sahaja penyumbang utama dalam bekalan makanan negara, tetapi juga sebahagian daripada warisan maritim negara yang perlu dipelihara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk persatuan nelayan tempatan, agensi kerajaan dan komuniti setempat yang menjayakan program itu, sambil menyatakan keyakinan acara itu boleh dikembangkan sebagai acara pelancongan bertaraf negeri pada masa depan.
Menurutnya, acara yang diadakan itu bukan sekadar perarakan, tetapi juga satu wadah untuk memperkukuh hubungan antara komuniti nelayan dan masyarakat setempat.
“Ia mampu menjadi tarikan pelancong, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada penduduk di sekitar kawasan perairan ini,” katanya.
Sempena pertandingan itu, setiap peserta diberikan RM300 untuk menghiaskan bot masing-masing dan pemenang tempt pertama menerima RM10,000, kedua (RM7,000), ketiga (RM5,000), keempat (RM3,000) dan RM1,000 untuk tempat kelima.
Sementara itu, bermodalkan lebih RM3,000, seorang bapa kepada tiga anak, Farhan Md Sahid, 42, tidak menyangka percubaannya menghias bot secara sederhana akhirnya membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai juara pertandingan tersebut.
Menurut Farhan, idea hiasan bot itu dilakukan secara berperingkat bersama rakan-rakan dan pada awalnya hanya dianggap sebagai mencuba nasib, memandangkan penyertaan tahun ini cukup sengit.
“Alhamdulillah, memang tak sangka boleh menang sebab ada juga dua tiga bot lain yang cantik dan mampu bersaing. Kita cuba sahaja, rezeki berpihak pada saya,” katanya. – UTUSAN