BN gerak skuad sukarelawanan bantu mangsa banjir Sabah

BN gerak skuad sukarelawanan bantu mangsa banjir Sabah

AHMAD ZAHID HAMIDI ditemui media selepas melancarkan skuad sukarelawanan BN di perkarangan Bangunan UMNO Sabah, Kota Kinabalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah melancarkan Skuad Sukarelawan BN hari ini untuk melaksanakan kerja sukarelawan pasca bencana bagi membantu mangsa banjir dan tanah runtuh di Sabah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pasukan yang mula turun padang di kawasan terjejas bencana sejak beberapa hari lalu akan didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan rasmi.

“Penubuhannya adalah inisiatif BN Sabah untuk membantu rakyat negeri ini yang menghadapi kesukaran selepas bencana seperti membersihkan rumah dengan menyediakan tenaga dan peralatan diperlukan.

“Skuad itu beroperasi sejak Khamis lalu ketika saya pergi ke kawasan banjir dan tanah runtuh di beberapa daerah di Sabah,” katanya ditemui media selepas melancarkan skuad itu di hadapan Bangunan UMNO Sabah di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, skuad itu sudah bergerak di lapangan dengan empat lori tangki digerakkan ke kawasan yang perlu dibersihkan.

Katanya, jumlah kemudahan sekarang bertambah lapan atau sembilan lori tangki yang pergi ke kawasan dan rumah perlu dibersihkan.

“Kita akan jadikan skuad itu berdaftar dan digerakkan di 25 kawasan parlimen seluruh Sabah berjalan dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menyelaras bersama-sama skuad itu ke kawasan tertentu jika berlaku bencana,” katanya.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, usaha juga diambil membantu rakyat mengalami kerosakan rumah memastikan kediaman itu dibaik pulih atau dibina semula.

“Justeru, bantuan membina semula rumah akan diusahakan, selain rumah yang perlu dibaiki, dengan pihak Giat MARA membantu melakukan pendawaian semula 4,000 rumah di kawasan terjejas,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini