Belanjawan 2026 imbangi tuntutan ekonomi, keperluan rakyat

Belanjawan 2026 imbangi tuntutan ekonomi, keperluan rakyat

ANWAR Ibrahim bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada Sesi Libat Urus Belanjawan 2026 Pemain Industri Pelancongan dan Pembuatan bersama Perdana Menteri di Kota Laksamana, Melaka hari ini.-UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Belanjawan 2026 yang sedang dirangka kerajaan perlu memberi penekanan seimbang antara tuntutan ekonomi dengan keperluan rakyat, khususnya dalam menangani kos sara hidup.

Menurut beliau, pendekatan ekonomi tidak boleh hanya berpandukan teori klasik semata-mata kerana ia berisiko membebankan majoriti rakyat berpendapatan sederhana dan rendah.

“Kalau ikut preskripsi ekonomi, hasil negara memang besar tetapi beban rakyat juga besar, itu sebab kita pilih pendekatan lebih munasabah yang membezakan kadar bayaran antara warga tempatan dengan bukan warga negara.

“Sebab itu, langkah subsidi bersasar yang diperkenalkan pada harga petrol dan elektrik membuktikan kerajaan berjaya mengurangkan ketirisan serta menambah hasil negara tanpa menjejaskan kebajikan isi rumah.

“Kebijaksanaan belanjawan bukan hanya soal angka, tetapi bagaimana ia dapat meringankan kos sara hidup rakyat tanpa menjejaskan kedudukan fiskal negara,” katanya ketika berucap di Sesi Libat Urus Belanjawan 2026 Pemain Industri Pelancongan dan Pembuatan bersama Perdana Menteri di Kota Laksamana di sini hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menekankan potensi Melaka dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor yang terus menarik perhatian pelabur antarabangsa.

“Eksport E&E dan semikonduktor ke Amerika Syarikat sahaja mencecah RM200 bilion, melibatkan lebih 10,000 syarikat tempatan dan 340,000 pekerja. Keputusan kerajaan mesti mengambil kira kepentingan besar ini,” katanya.

Dalam ucapannya, Anwar turut menekankan bahawa kestabilan politik di Malaysia menjadi asas kepada keyakinan pelabur berbanding banyak negara lain di rantau ini.

“Bank Dunia dan IMF turunkan unjuran global, tetapi Malaysia masih mengekalkan unjuran awal. Ini kerana kestabilan politik dan pentadbiran yang lebih aman,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN