Belanjawan 2026: Aspek keselamatan sekolah tumpuan utama KPM

Belanjawan 2026: Aspek keselamatan sekolah tumpuan utama KPM

FADHLINA Sidek beramah mesra dengan pelajar ketika Majlis Perasmian Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya, Presint 9 (2). - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengutamakan aspek keselamatan sekolah untuk diberi tumpuan kerajaan menerusi Belanjawan 2026.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya turut menumpukan terhadap sokongan program antibuli, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta pendigitalan pendidikan dan persiapan kurikulum 2027.

“Ada beberapa perkara penting termasuk TVET yang turut beri tumpuan dalam konteks kepentingan dan keperluan kepada hala tuju negara (kemudian) berkaitan dengan sokongan kepada anti-buli ini juga kita masukkan dalam rencana kita kepada pihak Kementerian Kewangan (MOF) untuk dipertimbangkan.

“Dan juga perkara-perkara lain yang berkait rapat dengan digital, teknologi dan persiapan untuk kurikulum 2027 serta pelan pembangunan pendidikan baharu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Dekad Membaca Kebangsaan 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2) di sini hari ini.

Jelas Fadhlina, secara keseluruhan pembentangan dan permohonan kementerian menerusi Belanjawan 2026 adalah menyeluruh dengan mempunyai sasaran-sasaran tertentu untuk dicapai.

“Ini kerana kita mahu terus meningkatkan dan memertabatkan kualiti pendidikan negara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN