IPOH: Bekas Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 16 pertuduhan pecah amanah wang imbuhan imam membabitkan kerugian berjumlah RM30,250,
Tertuduh, Muhamad Azian Mat Isa, 38, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) merangkap Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah Taiping didakwa telah melakukan pecah amanah jenayah membabitkan wang lebihan bayaran imbuhan imam antara RM850 hingga RM5,950 membabitkan 10 buah masjid di Taiping.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Agama Islam dalam daerah Taiping antara 4 Mac 2019 hingga 20 Jun 2023.
Pertuduhan ke atas bapa kepada empat anak itu dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dengan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suzieyana Azura Yahaya manakala tertuduh diwakili Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid.
Terdahulu, Suzieyana mencadangkan jaminan sebanyak RM64,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan melapor diri pada setiap bulan di Pebabat SPRM Taiping.
Bagaimanapun, Ahmad Shamil memohon agar jaminan dikurangkan kepada RM10,000 atas alasan anak guamnya hanya bekerja sendiri sebagai penternak kambing dengan pendapatan sekitar RM1,000 sebulan.
“Anak guam saya sudah tidak berkhidmat di Pejabat Agama Islam malah sejak 2023 beliau memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM16,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh juga diperintahkan untuk melapor diri di Pejabat SPRM Taiping pada Jumaat pertama setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 13 Oktober depan. – UTUSAN