Bekas akauntan GISBH didakwa cuci duit lebih RM3.8 juta

Bekas akauntan GISBH didakwa cuci duit lebih RM3.8 juta

GISBH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas akauntan kanan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 40 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3.8 juta.

Tertuduh, Mohd. Khushairi Osman, 54, mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Bagi 15 pertuduhan menerima wang hasil haram, tertuduh didakwa telah menerima sejumlah wang bernilai RM2,694,339.78 daripada akaun simpanan milik dua individu serta beberapa buah syarikat yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Bagi 25 pertuduhan memindahkan wang hasil haram, Mohd. Khushairi didakwa telah berbuat demikian dengan memindahkan wang bernilai RM1,128,173.80 daripada akaun bank simpanan miliknya kepada akaun bank beberapa buah syarikat dan individu antaranya GISB Travel and Tours Sdn. Bhd., GISBH dan GISB Mart Sdn. Bhd.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Taman Tun Dr Ismail di sini antara 2020 hingga 2024.

Timbalan Pendakwa Raya, Sangari Ponnan menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri ke Bahagian Pencegahan Wang Haram Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, sekali setiap bulan sehingga kes selesai.

“Pendakwaan juga memohon perintah agar tertuduh tidak mengganggu saksi selain melaporkan kepada pihak kami sekiranya terdapat perubahan alamat,” katanya.

Mohd. Khushairi yang diwakili peguam Datuk Rosli Kamaruddin memohon mahkamah mengguna pakai jaminan yang diberikan Mahkamah Sesyen, Shah Alam sebelum ini atas alasan kes itu akan dipindahkan ke mahkamah tersebut untuk dibicarakan bersama.

“Anak guam kini tidak mempunyai pekerjaan tetap, hanya sekali sekala berpeluang meniaga di pasar malam. Kesemua akaun banknya termasuk milik ahli keluarga telah dibekukan,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 untuk kesemua 40 pertuduhan serta syarat tambahan seperti diminta pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi penyerahan dokumen pada 13 November ini.

Pada 10 September lalu, Mohd. Khushairi serta tiga lagi individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Shah Alam atas 264 pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram bernilai RM40.01juta.

Pada prosiding itu, Mohd. Khushairi berdepan 54 pertuduhan melibatkan wang berjumlah RM20.3 juta. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN