Beberapa lagi rakyat Malaysia dikenal pasti terbabit seludup senjata api

Beberapa lagi rakyat Malaysia dikenal pasti terbabit seludup senjata api

MOHAMAD SUZRIN Mohamad Rodhi bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar di Briged Tengah PGA Cheras, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti terdapat pembabitan beberapa lagi rakyat Malaysia dipercayai terlibat dengan kegiatan seludup senjata api melalui sempadan negara.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (PGA), Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata, ia hasil daripada mesyuarat pihaknya bersama Polis Thailand Region 9 yang memaklumkan maklumat risikan terkini.

Katanya, hasil siasatan pihak berkuasa Thailand mendapati terdapat beberapa lagi rakyat Malaysia daripada sindiket sama terlibat dalam kegiatan penyeludupan senjata api selain dipercayai berjaya memasuki negara ini.

“Usaha mengesannya sedang dijalankan namun ia di bawah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas.

“Di peringkat KDNKA, kita berusaha mempertingkatkan keselamatan sempadan sama ada sepanjang laluan atau ICQS selain memperketatkan sekatan bagi mengesan sebarang ancaman termasuk penyeludupan senjata api,” katanya dalam sidang akhbar selepas Ujian Rentas Halangan KDNKA di Markas Briged Tengah PGA, Cheras, di sini hari ini.

Menurutnya, kawalan keselamatan terbabit meliputi sepanjang sempadan negara dan lorong tikus termasuk Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).

Isnin lalu, media melaporkan, polis sedang menyiasat kaitan sindiket dadah dalam negara susulan penahanan seorang lelaki rakyat Malaysia bersama senjata api jenis M4 dan ratusan butir peluru di Sadao, Songkhla, Thailand, bulan lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengesahkan dakwaan senjata berkenaan diseludup masuk untuk kegunaan sindiket dadah.

JSJN masih dalam siasatan bagi mengesahkan kaitan dengan sindiket dadah,” katanya.

Lelaki berusia 46 tahun itu ditahan pada 5.35 petang di sekatan jalan raya oleh anggota Balai Polis Daerah Sadao pada 29 Ogos lalu.

Pemeriksaan ke atas kenderaan jenis Kia bernombor pendaftaran Malaysia menemukan dua laras raifal M4, 300 butir peluru kaliber 5.56 milimeter (mm), tujuh kelopak peluru 5.56mm, 100 butir peluru kaliber .45mm serta 50 butir peluru kaliber 9mm.

Semua senjata dan peluru berkenaan dirampas untuk siasatan lanjut pihak berkuasa Thailand.
Siasatan awal mendapati suspek mengaku diupah seorang lelaki untuk menyeludup senjata api ke Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN