Australia janji bendung H5N1 selepas kes pertama disahkan

Australia janji bendung H5N1 selepas kes pertama disahkan

AUSTRALIA satu-satunya benua yang masih bebas daripada kes H5N1, walaupun virus itu pernah dikesan di wilayah sub-Antartika pada akhir 2025.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CANBERRA: Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, memberi jaminan akan berusaha membendung penularan selesema burung H5N1, selepas kes jangkitan tanah besar pertama disahkan di negara itu semalam.

Kes itu dikesan pada seekor burung laut di kawasan terpencil di barat daya Australia, sehari selepas virus tersebut dilaporkan di lokasi berkenaan.

Sebelum ini, Australia merupakan satu-satunya benua yang masih bebas daripada kes H5N1 di tanah besar, walaupun virus itu pernah dikesan pada akhir 2025 di wilayah sub-Antartika di Pulau Heard, kira-kira 4,100 kilometer (km) dari benua Australia.

“Ini membimbangkan,” kata Albanese kepada pemberita di Sydney, sambil menegaskan kerajaan akan melakukan apa sahaja yang mampu untuk mengehadkan penularan.

Menurut kerajaan, ujian mengesahkan burung tersebut, yang ditemukan dalam keadaan sakit berhampiran Esperance, bandar kira-kira 570km ke tenggara Perth, dijangkiti strain maut itu.

Jangkitan dalam kalangan manusia terhadap virus tersebut masih jarang berlaku, namun selesema burung yang sangat patogenik menyebabkan pemusnahan ratusan juta burung dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus mengganggu bekalan makanan dan meningkatkan harga.

Bagaimanapun, Menteri Pertanian, Julie Collins berkata, virus itu belum dikesan dalam ternakan ayam atau sektor pertanian Australia, walaupun seekor burung gergasi petrel yang ditemukan di kawasan sama turut diuji positif.

“Tiada bukti berlaku kematian besar-besaran dan tiada bukti virus itu berada dalam sistem ternakan ayam atau pertanian kita pada peringkat ini,” katanya dalam kenyataan disiarkan di televisyen.

Dalam usaha menangani selsema burung, Australia memperketat langkah biosekuriti di ladang, menjalankan ujian ke atas burung pantai untuk mengesan penyakit, memvaksin spesies berisiko serta merangka pelan tindak balas kecemasan.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×