PETALING JAYA: Pemain beregu lelaki negara, Yap Roy King mengakui teruja untuk memulakan cabaran bersama pasangan baharu, Tee Kai Wun yang bakal membuat penampilan sulung pada Kejohanan Badminton Terbuka China dari 21 hingga 26 Julai ini.
Menurut Roy King, gandingan tersebut membuka lembaran baharu dalam kariernya sekali gus menuntut pendekatan serta pemikiran berbeza bagi memastikan mereka mampu bersaing dengan pasangan terbaik dunia.
“Bergandingan dengan Kai Wun bermula di Terbuka China nanti memang merupakan satu perkara yang membuatkan saya teruja kerana kami akan membentuk gandingan baharu.
“Jadi, perlu ada pemikiran berbeza sedikit dan apa yang penting adalah kami perlu melakukan yang terbaik untuk berdepan pemain-pemain negara lain,” katanya.
Roy King berkata, dia juga tidak sabar untuk melihat sejauh mana keserasian yang mampu dibentuk bersama Kai Wun selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melakukan rombakan beberapa pasangan beregu lelaki negara.
“Saya juga tidak sabar untuk membentuk gandingan baharu bersama Kai Wun.
“Secara jujur, ini merupakan satu permulaan baharu dan saya harap kami dapat memberikan yang terbaik,” ujarnya.
Terdahulu, BAM mengambil keputusan memisahkan beberapa gandingan utama termasuk bekas juara dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta pasangan Man Wei Chong-Tee Kai Wun sebagai sebahagian daripada perancangan menuju Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.
Dalam perkembangan sama, Roy King yang akan beraksi bersama Arif Junaidi pada Terbuka Jepun dari 14 hingga 19 Julai ini meletakkan sasaran sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir selepas berjaya melangkah ke suku akhir pada edisi tahun lalu.
“Kalau boleh kami mahu mencatat keputusan lebih baik berbanding sebelum ini. Tahun lalu, kami berjaya sampai ke suku akhir, jadi untuk edisi kali ini, sekurang-kurangnya boleh melangkah ke separuh akhir,” ujarnya. – UTUSAN









