KOTA KINABALU: Bank Rakyat menyerahkan zakat keuntungan berjumlah lebih RM1.7 juta kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) tahun ini, berbanding RM1.3 juta tahun tahun lalu.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, peningkatan sumbangan zakat itu selaras dengan perkembangan positif keuntungan perniagaan Bank Rakyat.
“Saya yakin sumbangan akan terus meningkat pada tahun akan datang seiring dengan pelbagai perancangan Bank Rakyat di negeri ini,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, hari ini.
Dalam kunjungan itu, Bank Rakyat menyerahkan zakat keuntungan berjumlah lebih RM1.7 juta kepada MUIS.
Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat Sabah menggunakan perkhidmatan Bank Rakyat kerana sebahagian keuntungannya dikembalikan semula kepada masyarakat dalam bentuk zakat dan bantuan lain.
Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Musa atas sokongan terhadap usaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan agensi bawahnya dalam membangunkan keusahawanan serta koperasi di Sabah.
Katanya, Bank Rakyat adalah agensi pembiayaan keusahawanan dan peribadi di bawah KUSKOP yang memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi melalui usahawan dan koperasi di negara ini. – UTUSAN










