Bank Muamalat lancar Kad Debit PKS patuh syariah

Bank Muamalat lancar Kad Debit PKS patuh syariah

bank muamalat
GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) dengan kerjasama Mastercard melancarkan Kad Debit PKS patut syariah pertama negara yang direka khas untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menyokong dan memperkasakan perniagaan di seluruh Malaysia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, pihaknya komited untuk menyediakan penyelesaian kewangan yang beretika, mudah diakses dan bermanfaat yang membantu perniagaan Malaysia berkembang dengan yakin. 

“PKS menyumbang secara signifikan kepada KDNK negara dan merupakan tunjang kepada daya tahan ekonomi Malaysia. 

“Kad Debit PKS-i ini adalah bukti visi kami untuk menyokong komuniti perniagaan melalui produk yang mencerminkan prinsip Syariah dan keperluan perniagaan moden,” katanya dalam kenyataan. 

Dengan lebih 97 peratus daripada jumlah perniagaan di Malaysia terdiri daripada PKS dan menyumbang 38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, kad ini memperkukuh komitmen bersama terhadap pertumbuhan ekonomi inklusif dan pemerkasaan digital.

Kad Debit PKS ini membolehkan perniagaan yang layak menikmati pelbagai manfaat kewangan disampaikan dalam rangka kerja yang mematuhi prinsip perbankan Islam. 

Sebagai sebahagian daripada kempen pelancaran terhad, pemegang kad boleh memperoleh pulangan tunai sehingga empat peratus ke atas perbelanjaan utama perniagaan dalam tempoh enam bulan pertama. 

Bank berkata, pulangan tunai ini tertumpu kepada perbelanjaan di agensi pelancongan atas talian (OTA), platform e-dagang utama seperti Shopee dan Lazada serta pengiklanan digital di platform seperti Google dan Meta.

Pemegang kad juga akan menikmati pengecualian yuran pengeluaran mesin pengeluaran wang automatik (ATM) antarabangsa sebanyak dua kali sebulan, di samping akses eksklusif kepada Mastercard Easy Savings, Priceless Specials dan pelbagai tawaran dagangan terpilih.

Sementara itu, Pengurus Negara, Malaysia dan Brunei, Mastercard, Beena Pothen berkata, perniagaan kecil merupakan tulang belakang ekonomi Malaysia dan pertumbuhan mereka bergantung kepada akses kepada penyelesaian kewangan yang bukan sahaja berkesan tetapi juga selaras dengan nilai mereka. 

“Kerjasama ini dengan Bank Muamalat memberi kuasa kepada usahawan dengan manfaat perniagaan harian tanpa keperluan kepada kemudahan kredit. Ia direka untuk memenuhi keperluan sebenar PKS sambil menyokong perjalanan mereka ke arah keterangkuman digital dan kewangan. 

“Ini adalah contoh terbaik bagaimana kewangan Islam dan pembayaran digital boleh digabungkan untuk membuka potensi baharu bagi komuniti PKS Malaysia yang dinamik,” katanya. 

Kad Debit PKS-i Bank Muamalat boleh mula dipohon bermula 15 Ogos 2025 di semua cawangan Bank Muamalat dan juga melalui laman rasmi Bank di www.muamalat.com.my. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN