‘El Nino’ landa Ulu Tembeling

‘El Nino’ landa Ulu Tembeling

SEBUAH bot penambang terkandas di alur Sungai Tembeling berikutan air surut dan berpasir berdekatan Kampung Bantal, Ulu Tembeling di Jerantut, Pahang. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Selepas tirai musim tengkujuh berakhir, penduduk Ulu Tembeling di sini, kini ber­depan cuaca panas dan ke­ring yang mula melanda sejak per­te­ngahan bulan lalu.

Fenomena itu menyebabkan air Sungai Tembeling surut dan muncul beting pasir seluas antara 80 hingga 150 meter sekali gus cabaran buat penduduk khususnya nelayan sungai.

Seorang penduduk Kampung Bantal, Japrun Ali, 66, berkata, fenomena yang berlaku setiap tahun itu turut memberikan cabaran kepada penternak ikan sangkar dan pengusaha pelancongan di situ.

“Nelayan sungai seperti saya berdepan kekurangan ikan kera­na spesies bermutu tinggi se­perti kelah dan patin bergerak ke habitat kawasan lubuk dan selebihnya ke hilir sungai mencari makanan.

“Cuma nelayan di sini memperoleh ikan kecil di kawasan alur (sungai) sekadar untuk makanan keluarga, manakala penternak ikan sangkar mengalami masalah air cetek dan perubahan suhu (air) menyebabkan hasil terjejas,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Berkongsi pengalaman yang sama, pemandu bot penambang, Jamizan Rashid, 47, berkata, musim kemarau menyebabkan kesukaran memunggah penum­pang dan pelancong ke perkampungan di Ulu Tembeling.

“Pemandu perlu berhati-hati melalui kawasan alur sungai dan kadangkala sukar apabila berdepan air cetek sekali gus terkandas di laluan berpasir dan perlu turun beramai-ramai menolak bot melepasi kawasan berkenaan,” katanya.

Dia berkata, tahun ini keada­an cuaca kemarau di Ulu Tembeling lebih cepat berbanding kelazimannya bermula April hingga akhir September, yang kemungkinan boleh mengurang­kan kehadiran pengunjung ke perkampungan Melayu pesisir Sungai Tembeling.

Ujarnya, walaupun ada jalan darat dari Kuala Tahan ke Kampung Mat Daling tetapi pengunjung khususnya pelancong ‘Mat Saleh’ lebih berminat menaiki bot Sungai Tembeling menikmati alam semula jadi dan jika kemarau berterusan kemungkinan menjejaskan sektor tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN