PETALING JAYA: Jambatan keluli bermodular (Bailey) akan dipasang di Sungai Kaiduan, Papar, Sabah susulan jambatan utama di kawasan itu runtuh akibat banjir, sekali gus menjejaskan hubungan penduduk setempat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerja pemasangan akan dilaksanakan segera oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kerjasama Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) yang mempunyai kepakaran khusus dalam pembinaan berkenaan.
Katanya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah membekalkan tiga unit jambatan Bailey kepada kerajaan negeri tahun lalu sebagai langkah meningkatkan kesiapsiagaan infrastruktur menghadapi bencana.
“Saya difahamkan jambatan utama di Sungai Kaiduan telah runtuh akibat banjir sekali gus memutuskan hubungan di kawasan berkenaan.
“Sehubungan itu, saya telah mengarahkan pemasangan jambatan modular dibuat segera bagi mengelakkan gangguan perhubungan berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, JKR Sabah kini menumpukan usaha baik pulih infrastruktur di Jalan Penampang-Tambunan yang terjejas akibat tanah runtuh.
“Antara usaha yang sedang giat dilaksanakan termasuk pembersihan runtuhan, penstabilan cerun, pembinaan semula jambatan gantung yang terputus, pembinaan semula tembok penahan cerun di kawasan perumahan serta pembaikan jalan raya yang rosak,” katanya.
Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk setempat yang menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa banjir.
“Antara bantuan yang disalurkan termasuk makanan, barangan keperluan harian, selimut, tilam, bantal serta bantuan logistik lain. Usaha ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban mangsa dan menyokong kelancaran operasi di kawasan bencana,” katanya. – UTUSAN










