PETALING JAYA: Aset bernilai AS$8.57 juta (RM39.1 juta) membabitkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan ahli keluarganya berjaya diperoleh semula Malaysia dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Singapura ke Akaun Amanah Pemulihan Aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, nilai itu adalah hasil daripada usaha penyelesaian global pelucuthakan sivil ke atas Jho Low yang dilaksanakan oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS).
Katanya, akaun lain milik ahli keluarga Jho Low juga dijadualkan dipulangkan dalam masa terdekat.
“Pemulangan terbaru ini serta penyelesaian sebanyak RM1.4 bilion dengan JPMorgan Chase & Co. baru-baru ini.
“Jumlah ini menjadikan jumlah keseluruhan aset yang berjaya dikembalikan kepada Malaysia daripada kes 1MDB kini mencecah RM31.19 bilion,” katanya dalam kenyataan.
Pada 26 Jun 2024, DOJ AS telah mengumumkan penyelesaian global pelucuthakan sivil ke atas Jho Low yang membawa kepada pemulihan aset melebihi AS$100 juta.
Secara keseluruhan, pihak berkuasa AS telah memperoleh lebih AS$1.5 bilion berkaitan Jho Low, sebahagian besarnya dikembalikan kepada Malaysia.
Kejayaan pemulihan ini mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Malaysia melalui Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi yang diketuai SPRM, dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara, Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).
Usaha ini turut diperkukuh dengan kerjasama erat pihak berkuasa antarabangsa, khususnya dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura dan Perancis, di bawah kerangka perjanjian Bantuan Perundangan Bersama (MLA).
Kerajaan Malaysia menegaskan komitmen untuk membawa pulang wang dan aset yang telah diselewengkan dalam 1MDB sebagai antara jenayah kewangan terbesar dunia dan memastikan semua individu dan institusi yang terlibat bertanggungjawab. – UTUSAN










