ASEAN perlu berfungsi lebih daripada sekadar forum

ASEAN perlu berfungsi lebih daripada sekadar forum

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ASEAN digesa tampil lebih aktif dan berfungsi dalam menangani cabaran semasa yang semakin mencabar, sekali gus memastikan organisasi itu kekal relevan dan dihormati di peringkat antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ASEAN tidak boleh hanya dilihat sebagai simbolik forum, tetapi perlu membuktikan keberkesanan melalui tindakan kukuh yang boleh membawa perubahan kepada kehidupan rakyat serantau.

“ASEAN mesti berfungsi, bukan hanya wujud di atas kertas. Kita harus pastikan ia benar-benar memberi manfaat kepada rakyat di seluruh rantau,” katanya ketika berucap pada perasmian Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Anwar berkata, demokrasi di rantau ini memerlukan forum yang hidup, terbuka dan mampu menyalurkan suara rakyat tanpa sekatan, termasuk suara wanita, belia dan komuniti terpinggir yang sering diketepikan daripada perbincangan.

“ASEAN tidak boleh hanya mengangkat golongan elit yang mempunyai kuasa dan pengaruh. Ia mesti memastikan suara masyarakat miskin dan terpinggir turut didengari sebagai sebahagian daripada komitmen untuk menjadikan rantau ini benar-benar inklusif,” katanya.

Tambah Anwar, keberkesanan ASEAN bergantung pada kesediaan negara anggota untuk bertindak secara kolektif dan bukan berasingan, khususnya dalam isu ekonomi, keselamatan, teknologi dan sosial yang semakin menuntut penyelesaian segera.

“Keberkesanan ASEAN tidak akan tercapai jika setiap negara bergerak sendiri-sendiri. Kita mesti bertindak sebagai sebuah keluarga besar dalam menghadapi cabaran ekonomi, keselamatan, teknologi dan sosial,” katanya.

Anwar berkata, hanya dengan pendekatan lebih aktif dan berfungsi, ASEAN akan terus dihormati, kekal stabil dan relevan sebagai blok serantau yang kuat di mata dunia. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN