SHAH ALAM: Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyindir bekas ‘boss’, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya gagal membendung gejala rasuah di Malaysia ketika ini.
Menurutnya, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sebelum ini menguar-uarkan mahu membanteras rasuah setelah dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Kamu (Anwar) bicara soal rasuah ketika kamu tersungkur (tiada jawatan dalam kerajaan). Kamu bicara soal sakau ketika kamu tersungkur.
“Tapi ketika kamu di dalam kerajaan, kamu tidak berbuat apa-apa,” katanya ketika berucap pada sesi pengulunggan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025 di Pusat Konvensyen IDCC, di sini hari ini.
Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), tindakan Anwar tidak sama dengan Presiden Bersatu sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melawan jenayah tersebut ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Akibat tindakan berani itu, tegas Azmin, Muhyiddin terpaksa membayar harga mahal dengan dipecat daripada jawatan tersebut pada tahun 2015.
“Namun beliau tidak mengalah tapi terus bangkit dan melawan rasuah. Kita kalau nak tengok seseorang pemimpin itu hebat atau tidak, kita tengok apabila dia diuji dengan pelbagai krisis.
“Bersatu lahir daripada Muhyiddin, yang boleh dikatakan sebagai bidan kita. Dalam masa singkat, Bersatu mendapat perhatian daripada rakyat,” katanya. – UTUSAN









