SERDANG: Tidak pernah terlintas di fikiran Khairul Amin Kamarulzaman, atau lebih dikenali sebagai Khairul Aming, bahawa lapan tahun menghasilkan video masakan mampu membawanya ke pentas tertinggi sebagai penerima Anugerah Usahawan/Teknokrat Berjaya pada Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M di sini semalam.
Katanya anugerah itu bukan kejayaan peribadi, sebaliknya penghormatan buat ribuan peniaga kecil yang saban hari mencari rezeki.
“Pengiktirafan menjadi pemangkin membantu lebih ramai usahawan kecil, bukan sekadar dengan wang ringgit tetapi melalui platform media sosial dimilikinya.
“Kita ada pengikut yang ramai, mereka pula ada produk yang bagus. Mungkin saya akan bantu jualkan atau ulas produk mereka supaya lebih dikenali,” katanya.
Pengiktirafan itu meletakkan Khairul Aming bukan sahaja sebagai ikon digital, tetapi simbol inspirasi kepada peniaga kecil yang ingin mengorak langkah lebih jauh. – UTUSAN










