JERANTUT: Dua ekor gajah denak, Abot dan Sanum sekali lagi membuktikan keupayaan luar biasa apabila berjaya memujuk seekor gajah jantan berusia lingkungan 20-an yang tersasar masuk ke hutan kecil di bandar Jerantut, di sini untuk kembali ke habitat asalnya.
Dalam operasi bersepadu Unit Tangkapan Gajah (UTG) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang itu, gajah jantan berkenaan ditangkap selepas berkeliaran berhampiran Bukit Kuantan di belakang Klinik Kesihatan Bandar Jerantut, Jumaat lalu.
Ketua Operasi, Ainsha Ahmad berkata, operasi itu mencabar kerana cuaca panas dan memerlukan kekuatan 25 anggota berpengalaman.
“Walaupun tugas ini sukar, pasukan tetap komited demi memastikan keselamatan penduduk setempat serta kelestarian hidupan liar dapat dijaga. Gajah ini dipindahkan ke habitat lebih selamat di Hutan Simpan Negeri Belum, Perak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Mahut Abot, Ahmad Nor Hafizan Mahamed, 35, berkata, gajah denak itu bukan sekadar haiwan terlatih, malah dianggap sebagai ‘rakan seperjuangan’ dalam setiap operasi.
“Abot tahu tugasnya mendekati, memujuk dan menenangkan gajah liar. Sepanjang berada di sini, dia dijaga baik oleh penduduk, jadi saya yakin dia juga merasakan perpisahan ini,” ujarnya.
Bagi Mahut Sanum, Hisham Idris, 34, pengalaman kali ini memperlihat keupayaan gajah denak tersebut yang semakin matang.
“Sanum menunjukkan gaya profesional, sabar memujuk gajah jantan remaja yang masih agresif. Kami bersyukur operasi ini berjaya dan kami pastikan Sanum berehat secukupnya sebelum tugasan seterusnya,” katanya.
Mengulas kejayaan itu, Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd. Zamzuri Chik Wan Ab. Rahman berkata, kerjasama antara gajah denak dan mahut adalah aset penting negara dalam usaha konservasi.
“Operasi sebegini bukan sahaja menuntut kepakaran teknikal, malah kepercayaan dan ikatan antara mahut dan gajah denak. Tanpa keserasian itu, sukar untuk menundukkan gajah liar yang agresif,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, Haris Salleh Hamzah, berkata insiden gajah tersasar ke kawasan bandar Jerantut dipercayai berpunca daripada pergerakan haiwan itu dari kawasan hutan berhampiran Kampung Som.
“Gajah adalah haiwan nomad yang sentiasa mencari sumber makanan. Bila habitat asalnya terjejas atau kekurangan makanan, ia akan merayau hingga ke kawasan penempatan manusia. Ini yang berlaku di Jerantut,” katanya. – UTUSAN










