REMBAU: Pertanyaan mengenai syurga selepas kematian pernah ditanyakan oleh Abdul Fatah Khairol Rizal, 9, yang meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan ketika program sukan di Sekolah Kebangsaan Dato’ Klana Putra, di Lenggeng, Seremban pagi tadi.
Perkara itu dimaklumkan bapa kanak-kanak itu, Khairol Rizal Mustafar, 42, yang juga Imam 2 Masjid Kariah Lenggeng.
Katanya, pertanyaan anaknya itu telah berlaku lama namun seingatnya dia segera mengiyakan pertanyaan itu dan menasihati supaya tidak berfikir mengenai kematian di waktu kecil itu.
“Dia pernah pernah tanya saya, kalau budak kecil meninggal, terus masuk syurga kan? Saya kata ya lah. Dia kata hendak mati masa kecil nanti boleh terus masuk syurga. Senang, dia kata.
“Saya kata kenapa kata begitu. Seingat saya Fattah tanyakan soalan ini sudah agak lama,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau, di sini, hari ini.
Menceritakan mengenai kejadian tersebut, Khairol Rizal berkata dia ke sekolah bersama Fattah serta anak ketiganya dan kedua-duanya yang tidak terlibat dalam acara sukan dan telah pergi ke rumah sukan masing-masing.
“Memang mereka teruja untuk acara sukan ni, malah, Khamis lepas saya memberikan mereka topi baharu sempena sukan,” katanya.
Menurutnya, dia berada bersama tetamu kehormat di astaka atas kapasiti sebagai Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan serta kekecohan berlaku selepas tamat sesi perbarisan.
“Kecoh kata ada budak jatuh dalam lubang kumbahan. Nampak orang kerumun dari jauh. Saya tidak tahu siapa yang jatuh sebab masa tu perkara pertama yang saya nak buat, saya nak semak anak-anak saya dulu.
“Saya pergi dekat anak budak-budak yang ada berkumpul sebab cikgu masa tu tengah semak kehadiran. Masa tu tak tahu lagi siapa yang jatuh. Saya lihat anak ketiga saya ada.
“Saya cari pula anak kedua, saya tak jumpa, cari-cari tak jumpa. Saya sudah mula rasa tak sedap hati. Lepas tu ada cikgu panggil panggil saya, peluk saya. Saya pun pergi tengok, orang sudah kumpul, anak saya telah dikeluarkan daripada lubang kumbahan itu dan tengah buat CPR (prosedur resusitasi kardio-pulmonari),” katanya.
Menurutnya, ketika itu terdapat pegawai perubatan yang membantu memberikan CPR dan dia tetap menunggu ambulans untuk membawa anaknya ke hospital.
“Saya nak tunggu juga ambulans datang, nak bawa juga ke hospital. Dalam ambulans pun masih diteruskan CPR, sampai masuk wad kecemasan zon merah.
“Saya tunggu DI luar sehingga doktor panggil, lepas tu dia (doktor) kata dia dah buat apa prosedur yang sepatutnya, namun sebab air sudah masuk masuk, jantung pun dah berhenti. Doktor cakap macam tu pada saya, dan saya redalah,” katanya.
Menurutnya, buat masa ini, dia serta isteri, Norfazila Md Lajin, 43, masih dalam keadaan bersedih serta masih belum memikirkan tindakan lanjut berhubung insiden berkenaan.
“Saya tahu di bangunan belakang tu memang ada tempat kumbahan, namun saya tak tahu macam mana Fattah boleh jatuh, namun ramai yang katakan ada dengan bunyi macam sesuatu terjatuh ke dalam air,” katanya.
Malah menurutnya, dia juga menyerahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut dan melihat ramai yang cuba membantu ketika kejadian, selain pihak kementerian juga sudah menziarahinya di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau.
Terdahulu, media melaporkan seorang murid lelaki berusia sembilan tahun maut selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan ketika aktiviti sukan di sebuah sekolah di Lenggeng, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 11.09 pagi dan siasatan awal mendapati, pada pukul 9.20 pagi, mangsa dilihat orang awam terjatuh ke dalam saluran kumbahan berkenaan. – UTUSAN









