SHAH ALAM: Kerajaan menetapkan harga petrol RON95 pada kadar RM2.05 seliter bagi kenderaan awam dan komersial yang layak, melalui penggunaan kad fleet (fleet card) di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) bermula 30 September ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah itu bertujuan memastikan sektor pengangkutan awam terus menikmati bahan api pada kadar berpatutan, sekali gus tidak membebankan rakyat.
Katanya, sembilan jenis kenderaan pengangkutan awam itu adalah teksi, kereta sewa, bas (sekolah, pengantara, henti-henti dan mini), van mayat, ambulans serta bomba.
“Bagi 12 jenis kenderaan pengangkutan barangan antaranya van (panel, tingkap, separa panel, rigid perkhidmatan bergerak dan katering makanan).
“Selain itu, lori (katering makanan, kargo am jenis rigid, rigid jenis luton atau kotak, rigid berpendingin (refrigerated), lori rigid perkhidmatan bergerak, lori rigid kandang haiwan dan rigid hasil pertanian),” katanya ketika sesi taklimat media penyasaran subsidi RON95 di sini, hari ini.
Amir Hamzah berlata, penggunaan kad fleet membolehkan pemantauan lebih telus terhadap pengagihan subsidi, mengelakkan ketirisan dan memastikan hanya pengusaha sah menerima manfaat tersebut.
Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, syarat kelayakan permohonan antaranya syarikat perlu berdaftar di Malaysia, kenderaan milik syarikat dengan cukai jalan sah dan hanya kenderaan yang tersenarai dalam kategori layak di bawah SKPS.
Amir Hamzah berkata, selain kad fleet, syarikat minyak juga dibenarkan membangunkan kad digital melalui aplikasi masing-masing.
“Syarikat pengangkutan yang berjaya mendaftar dalam SKPS perlu segera memohon kad fleet daripada syarikat minyak pilihan dengan mengemukakan dokumen surat kelulusan dan senarai kenderaan yang dicetak melalui SKPS.
“Untuk tujuan ini, syarikat dibenarkan memilih maksimum tiga syarikat minyak iaitu Petronas, Shell, Petron, Caltex, BHP dan Five,” katanya. – UTUSAN










