2.3 juta pemegang lesen memandu tidak aktif – JPJ

2.3 juta pemegang lesen memandu tidak aktif – JPJ

Tali pinggang keledar
AEDY FADLY RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan sejumlah 2.3 juta pemegang Lesen Memandu Kompeten (CDL) berada dalam status tidak aktif iaitu telah tamat tempoh melebihi tiga tahun.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, bagaimanapun sejumlah 15.2 juta merupakan pemegang lesen CDL aktif iaitu masih berkuat kuasa.

Dalam hal ini, pihaknya mengingatkan pemegang lesen memandu yang tamat tempoh melebihi tiga tahun diwajibkan menduduki semula ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu Bahagian 2 dan 3 (KPP 02 dan KPP 03) di mana-mana Institut Memandu (IM) berdekatan.

“Keperluan ini adalah bagi mendapatkan atau mengaktifkan semula lesen memandu.

“Sementara itu, pemegang lesen memandu yang tamat tempoh tidak melebihi tiga tahun adalah diseru untuk segera memperbaharui lesen melalui aplikasi MyJPJ, portal mySikap, kiosk tanpa perlu hadir ke kaunter secara bersemuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selaras dengan pengumuman Perdana Menteri mengenai pelaksanaan program Budi Madani RON95 (BUDI95), JPJ bersiap siaga dan bersedia menambah waktu pengoperasian Kaunter Lesen Memandu dan Kaunter Pelbagai pada hujung minggu (Sabtu dan Ahad) bermula pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang.

Katanya, penambahan waktu operasi kaunter ini adalah berkuatkuasa pada 27 September hingga 26 Oktober 2025 di semua pejabat JPJ Negeri dan cawangan di seluruh negara.

“Ini bagi memberikan lebih ruang dan fleksibiliti kepada orang ramai, khususnya mereka yang mempunyai kekangan masa pada hari bekerja untuk memperbaharui lesen memandu.

“Dengan pelaksanaan inisiatif ini, JPJ yakin dapat membantu rakyat memanfaatkan inisiatif yang diumumkan kerajaan dengan lebih menyeluruh, di samping meningkatkan tahap pematuhan undang-undang jalan raya melalui penguatkuasaan lesen memandu yang sah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN