TANJUNG MALIM: Perak mula dilanda banjir apabila dua pusat pemindahan banjir (PPS) dibuka hari ini daerah Muallim yang menempatkan 194 mangsa daripada 48 keluarga.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak dalam kenyataan hari ini berkata, PPS Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Sekiah Batu 7 menempatkan 126 mangsa daripada 21 keluarga.
Menurutnya, sebuah lagi PPS iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir yang menempatkan 68 mangsa daripada 17 buah keluarga.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Muallim, Mohd. Sabli Bakri berkata, PPS Dewan Kampung Pasir Ulu Slim dibuka pada pukul 11.30 pagi ini berikutan hujan lebat dan banjir yang berlaku di Kampung Pasir di sini.
“PPS ini bagi menyelamat dan menempatkan beberapa buah keluarga yang rumah mereka terjejas dengan limpahan air banjir tersebut.
“Berikutan itu, saya meminta tindakan penyelarasan serta-merta persiapan PPS dan pelaksanaan bantuan menyelamat dan bencana dari semua ketua-ketua jabatan dan agensi peringkat Daerah Muallim yang terlibat,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, lebih 20 penduduk terperangkap dalam banjir di Kampung Simpang 4 Dalam di sini berikutan hujan sejak malam tadi.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian banjir di kampung tersebut pada pukul 6.02 pagi.
“Seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim dan BBP Slim River ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
“Kejadian melibatkan lebih daripada 20 orang mangsa yang terperangkap di dalam banjir tersebut,” katanya. – UTUSAN










