18 tahun ‘Abang Putart’ berkarya di Dataran Quayside - Utusan Malaysia

18 tahun ‘Abang Putart’ berkarya di Dataran Quayside

SHAHRIL Anuar Mohd. menunjukkan hasil karikatur wajah dua pelanggannya di Dataran Quayside, Banda Hilir, Melaka. – UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Bergelar seniman jalanan tidak pernah membuatkan seorang pelukis berasa malu terutamanya ketika saban waktu berada di Dataran Quayside, Banda Hilir di sini.

Bagi Shahril Anuar Mohd., 46, atau lebih dikenali dengan nama pena ‘Abang Putart’, dia lebih selesa berada di tempat terbuka kerana memberinya banyak ilham.

Katanya, hampir 18 tahun dia menjadikan Dataran Quayside lokasi melukis potret karikatur pelancong yang berkunjung ke kawasan itu sejak 2007.

“Sebelum ini saya bekerja sebagai pembuat animasi hampir 10 tahun dengan sebuah syarikat di Kuala Lumpur. Saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan balik ke Melaka bersama keluarga dengan menjadi seniman jalanan demi mencari rezeki.

“Alhamdulillah, setakat ini karikatur memberi rezeki untuk saya menyara isteri dan tiga orang anak yang masih bersekolah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Shahril Anuar berkata, dia berada di situ Isnin hingga Khamis bermula pukul 6.30 petang manakala hujung minggu pada pukul 3 petang hingga 12 tengah malam.

Pemegang Diploma Tek­nologi Animasi dari Kolej Yayasan Melaka (KYM) itu berkata, berbekalkan pengalaman dalam bidang animasi dia mampu melakar wajah seseorang dengan baik.

Katanya, rata-rata pelancong yang singgah di Dataran Quayside tertarik dengan hasil karyanya.

“Saya mengenakan kadar bayaran yang murah bagi melukis potret wajah hitam putih dengan caj RM15 manakala yang berwarna pula sebanyak RM25. Sehari saya mendapat antara 10 hingga 20 pelanggan berbanding cuti hujung ming­gu boleh mencecah hingga 80 orang.

“Sambil melukis karikatur saya suka bersembang menceritakan mengenai sejarah Melaka dan mereka sangat menyukainya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN