JOHOR BAHRU: Seramai 16 remaja lelaki ditahan dalam Operasi Khas Basikal Lajak yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) di sekitar pusat bandar raya ini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah JBS, Superintenden Azrul Hisham Mohd. Shaffei berkata, kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 11 hingga 15 tahun.
Katanya, operasi yang bermula pukul 11 pagi hingga 4 petang itu mengesan sekumpulan remaja yang menunggang basikal lajak yang tidak menepati spesifikasi keselamatan.
“Sebanyak 16 buah basikal disita di bawah Seksyen 112 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk pemeriksaan lanjut. Selain itu, 16 keping saman POL.257 turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk basikal tiada brek, tiada loceng dan tiada lampu merah belakang,” katanya dalam kenyataan.
Azrul Hisham berkata, ibu bapa dan penjaga sah kepada kesemua remaja terbabit dipanggil ke balai polis bagi tujuan rakaman percakapan.
“Mereka turut dinasihatkan agar lebih memantau aktiviti anak-anak masing-masing. Tindakan tegas akan diambil sekiranya kesalahan berulang mengikut Seksyen 33 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun,” katanya.
Katanya, semua yang terlibat dibebas dan diserahkan kembali kepada keluarga masing-masing selepas selesai memberikan keterangan.










