Yuran sekolah swasta wajar diberi pelepasan cukai

Yuran sekolah swasta wajar diberi pelepasan cukai

Prof. Dr. Omar Yaakob
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu mempertimbangkan yuran persekolahan di sekolah swasta berdaftar dimasukkan dalam kategori pelepasan cukai pendapatan individu bagi meringankan beban ibu bapa.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pertubuhan Ikram Malaysia, Dr. Omar Yaakob berkata, cabaran utama ibu bapa yang memilih sekolah swasta ialah kos pendidikan tinggi kerana yuran ditanggung sepenuhnya tanpa sebarang insentif.

Menurutnya, sumbangan ibu bapa berkenaan wajar diiktiraf kerana mereka secara tidak langsung membantu kerajaan menjimatkan kos pembinaan serta operasi sekolah baharu selain memastikan murid mendapat persekitaran pembelajaran lebih kondusif.

“Cadangan pelepasan cukai ini akan memberi manfaat besar. Antaranya, meringankan beban kewangan ibu bapa kelas pertengahan serta menggalakkan perkongsian tanggungjawab antara kerajaan dan masyarakat dalam pendidikan.

“Ikram yakin langkah ini bukan sahaja menangani isu kepadatan sekolah di bandar, malah menyokong kelestarian sistem pendidikan dengan mengiktiraf sekolah swasta sebagai rakan strategik ke arah pembinaan sistem pendidikan yang inklusif dan mampan,” katanya dalam kenyataan.

Omar berkata, sekolah swasta berdaftar telah memainkan peranan sebagai pelengkap kepada ekosistem pendidikan negara dengan menyediakan ruang alternatif bagi mengurangkan tekanan kapasiti di sekolah kerajaan

Katanya, pertumbuhan populasi pesat di bandar mengakibatkan kadar pertambahan sekolah tidak seiring dengan bilangan murid sekali gus menimbulkan isu kepadatan kelas.

“Terdapat sekolah di beberapa bandar utama menempatkan lebih 40 murid dalam sebuah bilik darjah sedangkan jumlah optimum yang disarankan hanyalah antara 25 hingga 30 murid.

“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kualiti pembelajaran, malah menambah beban guru serta pentadbiran sekolah,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN