IPOH: Seorang lelaki warga emas berusia 65 tahun ditahan selepas disyaki mencabul kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang juga anak jirannya di rumah mangsa di Ulu Kinta, di sini pada Rabu.
Difahamkan, kejadian itu terbongkar selepas mangsa memaklumkan perbuatan lelaki itu kepada gurunya sebelum membuat laporan polis pada pukul 11.59 pagi kelmarin.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, mangsa memberitahu kejadian berlaku pada pukul 6.30 petang Rabu lalu, apabila suspek meminta mangsa membuka pintu rumahnya.
Katanya, kanak-kanak itu yang tidak mengesyaki apa-apa telah membuka pintu sebelum suspek masuk lalu meraba bahagian belakang badan mangsa.
“Mangsa cuba mengelak namun lelaki terbabit menarik bajunya menyebabkan kanak-kanak itu terduduk di atas paha suspek.
“Suspek kemudian memasukkan tangan ke dalam baju kanak-kanak itu dan meraba payudara mangsa,” katanya.
Menurut beliau, bertindak atas laporan polis yang diterima, tangkapan dibuat ke atas lelaki itu semalam pada pukul 6.45 petang di rumahnya.
Katanya, semakan mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Suspek direman selama tujuh hari sehingga Khamis depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya. – UTUSAN