JOHOR BAHRU: Seorang wanita warga Vietnam berdepan hukuman mati apabila berdepan pertuduhan mengedar dadah lebih 5 kilogram (kg) dua minggu lalu, di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, Vo Thi Be Thu, 31, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret, A. Shaarmini.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita itu didakwa mengedar dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 5.3 kg di sebuah apartmen di Persiaran Sutera Danga, di sini kira-kira pukul 2 petang, 25 Julai lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Di mahkamah sama, dia mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan memiliki 20 gram dadah jenis MDMA dan sembilan gram ketamin di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Dia didakwa di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun dan sebat tidak lebih sembilan kali serta Seksyen 12(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid pula, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki 11 gram ketamin di sebuah unit rumah lain di apartmen sama kira-kira pukul 3.20 petang pada tarikh sama.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Manushri Suthakar dan Siti Aishah Latif, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan kedua-dua mahkamah menetapkan 7 Oktober depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia. – UTUSAN










