GUA MUSANG: Seorang suri rumah Orang Asli suku kaum Temiar dari Kampung Dusun Raja Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis di sini, membuka salun di rumah kerana tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada kewangan suami.
Meley Alug, 36, berkata, bantuan peralatan seperti kerusi cuci rambut, mesin pengering dan mesin stim rambut yang diberikan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) memenuhi impiannya menjadi usahawan salun.
Katanya, pada 2008, dia mengikuti kursus intensif salun rambut dan kecantikan di sebuah pusat latihan kemahiran di Seri Manjung, Perak.
“Selepas mengikuti kursus saya bekerja dan menimba pengalaman di sebuah kedai salun di Bandar Gua Musang selama setahun. Hasil simpanan duit gaji sebagai tukang gunting rambut, saya membeli beberapa peralatan termasuk produk rawatan rambut untuk memulakan perniagaan di rumah.
“Sejak lebih 10 tahun lalu, saya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di rumah dan menjadi tukang gunting rambut bergerak dari rumah ke rumah,” katanya ketika ditemui.
Meley yang merupakan ibu kepada empat anak berkata, pada 2023 dia menerima bantuan mesin peralatan salun daripada Jakoa untuk mengembangkan lagi perniagaannya.
Dia bersyukur apabila dapat menjana pendapatan kira-kira RM500 sebulan bagi membantu suaminya yang bekerja sebagai penoreh getah.
“Pada sambutan hari raya saya pernah menjana pendapatan sehingga RM2,000 sebulan apabila ramai penduduk yang mahu membuat perkhidmatan menggunting, mencuci, melurus dan mewarna rambut.
“Harga perkhidmatan yang saya tawarkan antara RM5 sehingga RM150 mengikut jenis rambut. Bagi perkhidmatan menggunting rambut kanak-kanak pula, saya hanya mengenakan bayaran serendah RM5.
“Saya berhasrat mengembangkan perniagaan dengan membuka kedai salun sendiri yang lebih luas serta selesa. Saya ingin membuktikan suri rumah wanita Orang Asli juga boleh menjana pendapatan dan berjaya sekiranya mereka berani menonjolkan kemahiran yang dimiliki,” katanya.
Sementara itu, pelanggan, Madah Ling, 28, berkata, salun yang ditawarkan di rumah Meley memudah dan menjimatkan kos penduduk Orang Asli.
Katanya, sebelum ini mereka terpaksa menaiki motosikal untuk ke bandar yang terletak lebih 30 kilometer dari kampungnya sekiranya mahu menggunting rambut.
“Saya sangat berpuas hati dengan perkhidmatan ditawarkan Meley. Jika penduduk sibuk, Meley boleh datang ke rumah kami. Harga yang ditawarkan juga berpatutan apabila Meley sering memberi potongan harga kepada penduduk kampung,” katanya. – UTUSAN










