Wanita minta kes dakwaan anak didera disiasat semula

Wanita minta kes dakwaan anak didera disiasat semula

KEADAAN badan anak lelaki Syaza Syamimi yang terdapat kesan lebam yang berkemungkinan dipukul atau jatuh pada objek keras.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang wanita kecewa apabila usahanya menuntut keadilan bagi anaknya yang disyaki mangsa penderaan di sebuah pusat jagaan kanak-kanak swasta di daerah ini, awal tahun ini dinafikan.

Syaza Syamimi Ahmad Sufian, 28, mengakui terkilan dan hampa apabila penantiannya selama lapan bulan sia-sia apabila dimaklumkan kes ditutup.

Kejadian berlaku pada 17 Januari lalu apabila dia dan suami menyedari kesan lebam panjang dan kemerahan pada belakang badan anaknya, Syakir Ali Syakir Mohamad Syazwin yang ketika itu berumur setahun dua bulan ketika dibawa pulang dari pusat jagaan tersebut.

“Kami hantar dia ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan hasil pemeriksaan mendapati bukan kesan alergi atau gigitan, sebaliknya berkemungkinan akibat dipukul atau jatuh pada objek keras dan panjang.

“Susulan itu, laporan polis dibuat di Balai Polis Sentral Johor Bahru bagi membolehkan pemeriksaan lanjut dijalankan di bawah prosedur kes penderaan kanak-kanak sebelum kes dipindahkan ke Balai Polis Iskandar Puteri,” katanya kepada pemberita hari ini.

Pekerja swasta itu berkata, laporan kesihatan penuh yang diterima daripada doktor di HSA pada 25 Februari mengesahkan kecederaan dialami anak lelakinya sebagai kes dera.

Dia mengemukakan permohanan di IPD Iskandar Puteri supaya siasatan dijalankan ke atas pusat jagaan tersebut dan membuat laporan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada hari sama.

Dia dipanggil semula ke balai untuk pengesahan sekiranya mahu kes dibawa ke mahkamah pada 7 April lalu dan memilih untuk meneruskan pendakwaan.

“Akhirnya, semalam saya dimaklumkan kes ini ditutup kerana tiada saksi menyokong, tiada kesalahan jenayah dan tiada keterangan kukuh. Justeru, tiada tindakan akan diambil terhadap siapa-siapa atau mana-mana pihak.

“Saya harap kertas siasatan dapat dibuka semula dan disiasat secara telus tanpa melengah-lengahkan proses. Saya juga harap lesen pusat jagaan ini ditarik sebab tidak telus dalam memberi info kepada ibu bapa mahupun pihak berkuasa,” katanya.

Katanya, empat bulan selepas kejadian, dia mengambil keputusan menjaga anaknya dan mengorbankan gaji yang tinggi apabila memohon kerja dari rumah dan mengurangkan waktu bekerja.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan mengesahkan pihaknya menerima aduan kejadian itu pada 19 Januari lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta kanak-kanak 2001, iaitu pengabaian kanak-kanak di bawah jagaan sebuah taska yang terletak di kawasan Iskandar Puteri.

“Hasil siasatan telah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Johor dan arahan diterima kes no further action (NFA) kerana tiada keterangan kukuh untuk mengaitkan mana-mana pihak dengan kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN