Wanita buang anak dipenjara 3 bulan, didenda RM10,000

Wanita buang anak dipenjara 3 bulan, didenda RM10,000

TERTUDUH, M. Santhiea (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, hari ini atas pertuduhan membunuh anaknya sendiri (infantisid) kira-kira lima tahun yang lalu.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seorang wanita yang berdepan pertuduhan membunuh anaknya sendiri (infantisid) selepas membuang bayi perempuan itu dari tingkap apartmen, lima tahun lalu dikenakan hukuman penjara tiga bulan dan didenda sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Hakim Rofiah Mohamad turut memerintahkan tertuduh, M. Santhiea, 23, dipenjara selama lima bulan jika gagal membayar denda tersebut. Difahamkan, kedua ibu bapa tertuduh bagaimanapun membayar denda berkenaan.

Terdahulu, ketika prosiding berlangsung, Rofiah berkata, hukuman penjara itu bagaimanapun telah dikira dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 10 Julai sehingga 14 September 2020 dan 30 Disember 2020 hingga 15 Januari 2021.

“Berdasarkan pengakuan tertuduh terhadap pertuduhan pilihan serta fakta kes yang diakui sepenuhnya tanpa syarat, mahkamah mendapati bahawa tertuduh bersalah dan disabitkan atas pertuduhan pilihan tersebut,” katanya.

Rofiah berkata, selain itu, laporan sosial juga mendapati, tertuduh mengalami emosi yang tidak stabil, malah, keluarganya turut dipulaukan oleh masyarakat serta dipandang hina susulan kejadian berkenaan.

“Walaupun pada zahirnya tertuduh telah ditahan reman antara tiga hingga empat bulan (sebelum ini), namun, setelah penelitian dibuat, mahkamah dapati tertuduh mengalami masalah kemurungan major (major depression).

“Pada hari kejadian, tertuduh sebenarnya telah bertekad untuk membunuh diri selepas melahirkan bayi,” kata Rafiah yang memberitahu, jika dipenjarakan semula, terdapat kemungkinan tertuduh akan membahayakan dirinya atau membunuh diri selepas ini.

Justeru, beliau berkata, tertuduh wajar diberi peluang kedua kerana mahkamah berpendapat, pendekatan pemulihan adalah lebih baik berbanding hukuman berbentuk punitif.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Khairiah Dahalaan manakala tertuduh hadir diwakili peguam, R.S.N. Rayer.

Berdasarkan fakta kes, Santhiea yang ketika kejadian berusia 18 tahun didakwa membunuh bayi perempuannya di Apartmen Sri Ivory, Bandar Baru Air Itam pada jam 8.25 pagi, 10 Julai 2020.

Pertuduhan ketika itu dibuat ketika dia sedang dirawat di wad bersalin Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat kehilangan darah yang serius serta komplikasi selepas melahirkan anak.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN