GEORGE TOWN : Bangunan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang berusia 119 tahun kini telah selesai dipulihara untuk menjadi warisan negara di bawah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Jurucakap Kementerian Kerja Raya (KKR) berkata, kejayaan projek menaik taraf dan memulihara mahkamah tersebut membuktikan bahawa kepesatan pembangunan negara tidak menjejaskan sebarang warisan dan nilai sejarah.
Malah katanya, di sebalik semua itu, Malaysia masih mampu memastikan bahawa pembangunan infrastruktur dilaksanakan secara bijaksana, berkesan dan mampan bagi manfaat generasi masa akan datang.
“Projek yang dilaksanakan secara rundingan konvensional ini melibatkan kos kontrak sebanyak RM18.933 juta dan ia telah dimulakan pada 1 Disember 2021 serta siap sepenuhnya pada 13 Julai 2024.
“Projek milik Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri ini telah dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dengan Pengarah Kerja Raya Negeri Pulau Pinang sebagai Pegawai Penguasa,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, satu majlis penyerahan bangunan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang itu dilakukan dengan disaksikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M.Kulasegaran dan Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir. Roslan Ismail yang mewakili Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Mengulas lanjut, jurucakap KKR itu berkata, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang itu merupakan salah satu faktor atau elemen utama dalam pengiktirafan George Town sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO pada 7 Julai 2008.
“Bangunan mahkamah ini yang mula dibina 1901 dan digunakan pada 1905 telah diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).
“Maka, sejajar dengan usianya, bangunan warisan ini telah mengalami beberapa masalah termasuk kebocoran bumbung, kesan anai-anai, kelembapan dan tumbuhan kulat yang terdapat pada beberapa bahagian bangunan,” katanya.
Tambah beliau, keaslian bangunan dikembalikan dan dikekalkan sebaik mungkin bagi memanjangkan jangka hayat bangunan warisan ini dengan penambahan beberapa fasiliti mengikut keperluan semasa bagi menjamin keselamatan pengguna serta kemampanan keperluan masa hadapan.
“Di antara skop kerja dan komponen yang terlibat adalah kerja-kerja memulihara dan menaik taraf sturuktur bumbung, dinding dan lantai, menaik taraf sistem elektrikal dan mekanikal termasuk lif dan menaik taraf turapan jalan serta mengecat pagar sedia ada.
“Dalam hal ini, KKR selaku peneraju infrastruktur negara amat komited dalam memberikan perkhidmatan cemerlang dalam sektor pembinaan negara. Pelaksanaan projek ini adalah bukti komitmen kerajaan dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.-UTUSAN










